Di Kuala Terengganu atau lebih tepat lagi di Perkampungan Nelayan Seberang Takir, masih terdapat satu lagi industri yang terkenal selain perusahaan membuat bot atau perahu dan keropok lekor yang selalunya menjadi sebutan masyarakat luar negeri penyu ini iaitu perusahaan bot penambang.
Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Mahmud yang siap dibina pada tahun 1990, Bot penambang adalah pengangkuan utama bagi penduduk di sebelah muara sungai Tengganu untuk ke Pusat Bandar Kuala Terengganu yang terletak di daerah Kuala Terengganu Selatan kerana di sini adanya Pasar Payang yang menjadi simbol kawasan pelancongan di Terengganu ini.
Kedudukan di muara Sungai Terengganu juga menjadikan perusahaan bot penambang ini menjadi pilihan oleh sebahagian pelancong untuk menikmati keindahan panorama Bandar Kuala Terengganu dan menikmati keseronokkan menaiki 'Water Cruiser' ini. Dan pelancong juga boleh menaiki Bot penambang ini untuk pergi ke Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam (TTI) yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.
Aku teringat apabila aku menaiki bot penambang sewaktu aku bercuti daripada hidup buas di kampus, daripada pusat bandar untuk ke kampungku, aku memilih untuk menaiki bot penambang kerana jarak rumah nenek saudara aku yang terletak betul-betul berhampiran dengan jeti Seberang Takir. Aku merasa lucu melihat gelagat beberapa orang golongan ibu daripada Putrajaya yang teruja menaiki bot penambang ini yang merupakan pengalaman pertama seumpanya bagi mereka. Walaupun keadaan bot penambang ini yang kelihatan tradisonal dan tidak gah seperti bot-bot moden, namun ia sudah cukup untuk memberikan pengalaman berharga untuk sebahagian masyarakat. Tambahan pula harga caj sebanyak RM1.00 ternyata membolehkan bot penambang ini boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakt tanpa perlu mengeluarkan belanja yang mahal.
 |
Antara deretan bot yang ada |
Di mamah pembangunan, namun masih tetap teguh beroperasi. Itulah perkataan yang boleh aku katakan. Kebanyakkan yang menjadi pengusaha bot penambang ini adalah terdiri daripada golongan yang sudah pun melebihi separuh abad seperti juga bot-bot penambang mereka yang sudah berusia berdekad-dekad. Terengganu dan antara mereka adalah To'ki aku sendiri, Ali bin Mohamed. Di usia emas namun masih kental megemudi stereng bot penambang. Namun sejak pertengahan tahun lepas, atas desakan ibu aku yang merupakan anak sulungnya akhirnya berjaya juga memujuk hati Ketua Persatuan Bot Penambang Seberang Takir ini untuk meletak jawatan. Namun legasinya tetap diteruskan oleh Ayah Su aku yang juga merupakan seorang nelayan. Kini beliaulah yang menyambung perusahaan ini
 |
Ayah Su @ Mohd Khairi |
Secara kesimpulannya, apa yang aku dapat rumuskan daripada pemerhatian aku adalah, pertama, kita kini umpamanya sedang menaiki kenderaan yang dinamakan pembangunan, dan pembangunan yang pesat ini telah membawa kita jauh ke arah satu tempat yang dinamakan sebagai pemodenan. Di kawasan yang dinamakan pemodenan ini telah berjaya mengubah struktur hidup masyarakat.Meningkatkan taraf hidup dan keselesaan rakyat Alhamdulillah, ramai yang mendapat manfaatnya.
Tapi rumusan aku yang kedua pula adalah bertentangan dengan rumusan aku yang pertama. Terlalu banyak pembangunan memandulkan tradisi dan menyisihkan budaya. Di negeri yang pernah di gelar 'The Cradle of Malay Civilisation' oleh Tan Sri Datuk Abdul Mubin Shephard ini penuh dengan budaya dan hasil kreativiti bangsa Melayu. Dengan Populasi sebanyak 98 peratus yang diwakli oleh kaum Melayu cukup menjadikan bumi ini bumi kesayangan dan masih lagi tulen. Namun itu semua kini kian tergugat, pembangunan tanpa mengira nilai warisan telah meranapkan budaya, mengubah sedikit demi sedikit identiti bangsa.
Mutahkhir ini, sebuah tragedi terhadap budaya ini berlaku di Kampung Ladang Tok Kelam yang merupakan penempatan kepada generasi pembuatan tujuh bahan-bahan kraf tradisi Melayu istimewa seperti pembuatan tembaga, emas, perak, songket, batik dan lain-lain hasil kraft yang unik. Namun apa yang terjadi kampung kecil ini telah diranapkan semata-mata untuk membuat sebatang jalan. Carilah di seluruh negara Malaysia ini sebuah kampung kecil yang mempunyai sebanyak mungkin industri desa yang unik seperti di Kampung Ladang Tok Gelam ini yang tidak tiada tolok bandingnya pasti tidak akan ditemui.
Aku teringat sewaktu setahun yang lalu, aku pernah menemuduga Encik Zainun untuk English Assignment yang merupakan seorang pengukir kayu bertempat di Lekir, Perak. Apabila ditanya daripada manakah beliau berasal, aku terkejut apabila mengetahui bahawa beliau berasal daripada Terengganu dan belajar mengukir ini juga semasa menuntut di Negeri Terengganu. Benarlah kata orang, mengembaralah, mengembara itu meluaskan pandangan dan kini aku tahu. Aku tahu bahawa Benarlah Negeri Terengganu ini adalah Craddle of Malay Civilisation.
Benarlah, pembangunan yang kita idamkan kini terlalu 'memanjakan' kita. Menjauhkan kita daripada fungsi dan asal usul kita. Kita mula menjadi alpa lantaran kerana kita tidak pernah merasakan kesusahan. Apatah lagi generasi aku sendiri. Generasi kita, lahir sahaja terus menjadi celik IT. Terus hidup senang tanpa sedikit pun mengerti erti kesusahan dan kejerihan hidup. Di usia muda sudah mampu memiliki sebuah telefon, sebuah komputer.
Aku tidak menafikan, aku juga adalah antara generasi IT ini .Lahir di tahun 90-an tidak menjadikan aku antara generasi yang pernah merasai parit jerih. Berumur 5 tahun ketika kemelesatan ekonomi pada 1998 tidak menjadikan aku faham apa sebenarnya yang bangsa aku lalui pada waktu itu. Oleh kerana itu aku merasa seakan-akan aku ini kurang sesuatu. Hidup sentiasa dalam kemudahan, tidak pernah merasai kepayahan. Apa yang aku mampu, cuma mengutip cerita-cerita kehidupan ibu bapa ku, nenek dan datuk ku untuk mengetahui susahnya hidup mereka pada waktu dahulu. Aku menjadi pendengar setia, kerana aku tahu apa yang aku dengar itu adalah mutiara. Mutiara yang mereka dapat nikmati, tapi bukan aku. Aku cuma dapat melihat sahaja mutiara itu. Aku khuatir, apabila generasi yang pernah jerih mengutip mutiara ini berganti, apakah ada diantara generasi kita ini atau mungkin generasi selepas kita ini akan tahu wujudnya "mutiara" ini.
 |
Generasi Baru Seberang Takir (yang ni aku x kenal siapa) |
p/s: Aku lebih suka mendengar dari bercerita.